Belajar tinggi-tinggi, nanti senang cari kerja. Tapi bila masa pula nak cari pengalaman kalau sibuk belajar? Memadaikah ijazah tanpa pengalaman? Mana satu ya? MURSHID EUNOS bersama pelatih Kolej Universiti Antarabangsa Selangor (KUIS), NOOR’JANAH ABDULLAH SANI, mendapatkan pandangan orang awam mengenai senario ini.
KITA mungkin sudah biasa mendengar. Orang yang mempunyai pengalaman jauh lebih berjaya daripada graduan yang memiliki ijazah. Lagi dahsyat, ada yang memiliki ijazah tapi tiada pekerjaan.
Membimbangkan juga apabila graduan menjadi penganggur terhormat hanya kerana terlalu memilih kerja atau terjerat dengan ‘mangsa kemelesetan ekonomi’.
Berlainan dengan mereka yang hanya mempunyai pengalaman. Namun apakah benar memiliki pengalaman itu suatu platform untuk berjaya?
Kadang-kala, faktor memilih kerja di kalangan graduan berbanding orang yang ‘belajar tak tinggi’ pun boleh menjadi satu isu majikan beralih mencari pekerja berpengalaman. Cuba fikirkan semula, kedua-duanya penting, bukan?
Dua-dua penting…
Suraya Mohktaza’zain
27 tahun
Kuala Lumpur
Pensyarah Universiti Kolej Sedaya International (UCSI)
suraya_usci@yahoo.com
“Kedua-duanya penting. Pengalaman penting kerana melaluinya kita akan lebih mahir sebab kita sudah praktik lebih awal. Tapi dengan adanya ijazah, ia melengkapkan lagi kriteria sebagai pekerja.
“Seperti contoh kakitangan kerajaan, ijazah adalah sesuatu perkara yang penting kerana kenaikan pangkat dan gaji dalam sektor awam ditentukan berdasarkan tahap pendidikan yang dimiliki. Semakin tinggi kelulusan kita, makin tinggi gajinya walaupun tiada sebarang pengalaman.
“Jujurnya, saya juga berjaya melalui pengalaman dan berkelulusan. Saya sendiri berkelulusan dalam bidang lain, tapi mendapat rezeki di bidang yang lain. Saya mempunyai pengalaman sebagai arkitek di sebuah syarikat swasta.
“Mula-mula, saya hanya menganggap ia sebagai cabaran anak muda untuk menceburi pelbagai bidang. Namun lama-kelamaan saya berasa seronok kerana mula belajar benda yang baru.
“Melalui pengalaman itulah saya mendapat tawaran mengajar jurusan arkitek di sebuah pusat pengajian tinggi swasta Kuala Lumpur.”
Pengalaman
Zainuddin Amrullah
21 Tahun
Kuala Lumpur
Kontraktor
azid_cold92@yahoo.com
“Bergantung kepada individu, ijazah adalah satu tiket untuk melangkah ke dunia pekerjaan dan selebihnya bergantung kepada kemahiran kita. Pengalaman lagi penting, sebab kalau ada ijazah tanpa pengalaman pun tak boleh juga. Zaman sekarang banyak perlukan pengalaman.
“Namun begitu, kita kena tengok juga industri pilihan pekerjaan kita. Sama ada swasta atau kerajaan, kalau permintaan ijazah diperlukan, jadi ijazah satu perkara penting.
“Kalau kita tengok, bidang perniagaan semuanya terletak di bahu kita saja. Seratus-peratus di bahu kita, jadi tidak perlulah sampai memiliki ijazah. Saya sendiri tidaklah memiliki ijazah, tapi dengan berkat rezeki dan pengalaman, saya sekarang bekerja sebagai seorang ‘data entry’ di sebuah syarikat milik keluarga saya di sekitar lembah Klang.”
Bergantung pilihan hidup
Nor Izzati Khairi
21 Tahun
Pahang, Kuantan
Rakan Kongsi, KR IZFFAAA ENT
“Perkara ini sebenarnya amat subjektif. Bergantung kepada cara hidup yang dipilih oleh individu. Kalau saya, buat masa sekarang pengalaman lagi penting. Sebab saya memilih untuk memasuki bidang perniagaan, jadi saya perlu mencari pengalaman yang banyak.
“Tapi tak dinafikan, pengalaman dan pelajaran jika dicampurkan ia kelihatan lengkap. Walaupun bagi saya, ijazah seperti lesen yang wajib dimiliki untuk memudahkan proses-proses tertentu.
“Melalui pengalaman, saya tidaklah belajar tinggi-tinggi sebab sewaktu saya menceburi bidang perniagaan, saya baru lepasan SPM. Saya hanya berusaha dan belajar kemahiran perniagaan melalui orang yang berpengalaman. Berjaya tak berjaya itu lain cerita, yang pasti saya memang seronok memasuki bidang perniagaan.
“Tapi jika diberikan kesempatan, saya juga ingin sambung belajar ke peringkat lebih tinggi. Tak salah jika menimba ilmu dan mempunyai ijazah, sebab saya sudah mempunyai pengalaman jika ada ijazah saya rasa baru lengkap.
“Nasihat saya, kita janganlah ego dengan apa dimiliki walaupun kita mempunyai selautan pengalaman dan berkelulusan.”
No comments:
Post a Comment