Tuesday, January 22, 2013

Taktik curi susu tepung gagal



BALING - Tindakan seorang lelaki mencuri sebungkus susu tepung gagal setelah tindakannya itu disedari oleh pemilik kedai runcit di Pekan Khamis, Kupang di sini, semalam.

Lelaki berusia 20-an itu menyorokkan susu tepung di dalam seluarnya sebelum membeli dua lolipop bagi mengaburi mata pemilik kedai itu. Namun begitu, lelaki terbabit telah melarikan diri setelah pemilik kedai ingin memeriksa bajunya yang kelihatan kembung selain tindakan yang mencurigakan.

Pemilik kedai, Fan Thean Choy, 55, berkata, lelaki itu terlalu takut sehingga meninggalkan motosikal yang ditungganginya. Menurutnya, dia cuba mengejar lelaki terbabit tetapi gagal sehingga memaksanya meminta bantuan orang ramai termasuk Persatuan Prihatin dan Keselamatan Sukarela (PPKS) Baling.

“Saya yakin, pencuri itu tidak boleh pergi jauh kerana motosikalnya berada di sini,” katanya. Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan susu tepung yang dicuri itu adalah untuk diberikan kepada anaknya.

“Walaupun dia kesempitan wang tapi mencuri bukanlah jalan penyelesaiannya. Sekiranya dia betul-betul terdesak, kita boleh bantu dia,” katanya. Menurutnya, motosikal yang ditinggalkan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan sepatutnya.

“Kita serahkan kepada polis, biar mereka jalankan siasatan. Kejadian ini tidak dapat dimaafkan, selagi mereka tidak terima hukuman, mereka akan terus mencuri,” katanya. Katanya, kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan pencuri itu dipercayai bukan penduduk kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu - Sinarharian

No comments:

Post a Comment