Monday, January 21, 2013

70 tahun solat salah kiblat



MELAKA TENGAH - Sebuah masjid berusia lebih 70 tahun di sini dikesan melakukan kesalahan dalam penetapan arah kiblat.

Imam satu Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Sabtu Kina berkata, kesalahan arah lebih kurang 10 sentimeter terpesong dari arah kiblat sebenar yang sepatutnya mencondong ke kiri berlaku sepanjang usia masjid itu.

Menurutnya, ia mula dikesan semasa bermulanya projek penambahan bangunan masjid penghujung tahun lalu oleh pelukis pelan, sekali gus mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

“Kita segera atasi keadaan itu dengan memasang pita pelekat penanda arah kiblat sebenar bagi mengelak kekeliruan jemaah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Ikan, semalam.

Sabtu yang menjadi imam sejak 17 tahun lalu bagaimanapun berkata, ia kesilapan tidak disengajakan berdasarkan faktor usia masjid mula dibina sejak tahun 1940-an.

Terdahulu, masjid warisan itu tidak dirobohkan, sebaliknya akan dinaik taraf sebahagian bangunan bagi keselesaan lebih 1,000 jemaah.

Sementara itu, salah seorang jemaah masjid tersebut, Abdul Wahab Baba, 55, berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan pemeriksaan di semua masjid lama di negeri ini.

“Semak semula arah kiblat di masjid lama kerana kita tak mahu sembahyang dengan kiblat tidak betul,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Maim, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau sudah maklum berkaitan perkara itu dan kesalahan terbabit adalah tidak disengajakan.

“Mungkin ada silap sedikit dan boleh dibaiki kecuali kita sengajakan, itu satu kesalahan. Sama juga seperti kita sembahyang di hotel luar negara yang mungkin boleh tersilap arah kiblat,” katanya.

Sementara itu, umat Islam yang pernah menunaikan solat di Masjid Al Ehsan, Bukit Baru dinasihatkan tidak perlu risau dengan solat mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md Amin berkata, biarpun kesalahan arah kiblat berlaku, namun hukum sembahyangnya adalah sah.

Menurutnya, ia tidak menyalahi apa-apa kesalahan kerana yang penting niat untuk menunaikan solat.

“Zaman dahulu, kita tiada teknologi canggih untuk menentukan arah kiblat tepat dan hasilnya mendapat arah yang tidak terlalu tepat.

“Berbeza sekarang, kita ada alat canggih dengan pelbagai penggunaan sistem yang baru,” katanya. - Sinarharian

No comments:

Post a Comment