Saturday, February 22, 2014

Pengikut ‘Tuhan Harun’ diberkas


Kota Kinabalu: Tiga pengikut ‘Tuhan Harun’ termasuk dua daripadanya yang dipercayai terbabit dengan pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Ahmad Raffli Abdul Malek, 47, tahun lalu ditahan polis di sebuah pangsapuri dekat sini, semalam.

Dua lelaki berusia 36 dan 37 tahun yang berasal dari Johor itu disyaki terbabit dalam kejadian pembunuhan pegawai JAIP pada 10 November 2013 termasuk seorang daripadanya memandu kereta ketika insiden itu berlaku.

Siasatan awal terhadap seorang lagi lelaki, 33, berasal dari Bachok, Kelantan tidak terbabit dengan kes tembakan berkenaan tetapi adalah orang kuat ‘Tuhan Harun’ yang dihantar ke negeri ini untuk menjalankan aktiviti pengutipan derma.

Semua individu terbabit ditahan di Pangsapuri Melinsung Summer Resort, Papar oleh Pasukan Petugas Khas Menangani Jenayah Terancang (STAFOC) kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan perkara itu menerusi laman Twitter rasminya jam 5.08 petang semalam.

“Syabas kepada STAFOC kerana berjaya menangkap tiga lelaki di Papar, Sabah tadi (semalam), berkaitan dengan kes pembunuhan pegawai JAIP,” katanya.

Dalam insiden pembunuhan November tahun lalu, Ahmad Raffli ditembak mati di depan rumahnya di Indera Mahkota 2, jam 1.50 tengah hari.

Mangsa maut ditembak dari jarak dekat dengan kesan dua tembakan mengenai bahagian dada kanan oleh seorang daripada tiga lelaki. -myMetro

No comments:

Post a Comment