Perkataan ‘selfie’ yang diiktiraf perkataan terbaik bagi 2013 dalam kamus Oxford kini semakin digemari pengguna telefon pintar terutama remaja bukan mengenai perkataan terbabit, tetapi perlakuannya.
Menurut kamus terbabit, selfie adalah satu foto diri sendiri yang diambil menggunakan telefon pintar atau kamera yang kemudian dipindah naik ke laman sosial.
Penggunaan perkataan selfie yang meningkat 17,000 peratus tahun lalu kini lebih digemari pemakai telefon pintar di negara ini.
Pengarah Editorial Oxford Dictionaries, Judy Pearsall, berkata penggunaan meningkat selfie pada tahun lalu, sekali gus menjadikannya perkataan terpilih sepanjang tahun.
“Hasil kajian juga mendapati ia perkataan paling kerap yang digunakan berbanding 150 juta perkataan lain,” katanya.
Selfie pertama kali muncul dalam satu kemaskini forum di Australia pada 2002. Kini perkataan selfie antara yang popular digunakan dalam laman sosial seperti Instagram, Keek, Vine, Facebook dan Twitter.
Dalam Instagram saja, perkataan selfie yang dilakukan dalam ‘hashtag’ foto kini mencecah sehingga 71.3 juta pos.
Bagaimanapun, sesetengah pakar psikologi berpendapat, perbuatan selfie itu sendiri menjurus kepada gangguan personaliti narsistik.
Laman web psikologi, Psych Central yang diuruskan pakar psikologi memberi definisi gangguan personaliti narsistik sebagai sifat grandiositi dalam fantasi pelaku atau kelakuan sebenar yang memerlukan perhatian orang lain serta tidak memiliki sifat empati.
Individu yang mengalami gangguan ini biasanya merasakan mereka mempunyai kepentingan dalam hidup orang lain.
Namun, Pengarah Pusat Media Penyelidikan Psikologi, Pamela Rutledge dalam Psychology Today menafikan individu yang suka merakam foto selfie sebagai individu yang mempunyai karakter narsistik.
“Ia boleh disifatkan sebagai penerokaan identiti yang menjadi salah satu cara paling berkesan untuk mengetahui diri anda apabila orang lain melihat anda,” katanya.
Menurutnya, selfie menawarkan peluang untuk menunjukkan aspek diri anda tidak kira sama ada ia foto hodoh atau cantik yang memungkinkan kita belajar mengumpul maklumat mengenai diri sendiri dari semasa ke masa.
“Selain itu, ia (selfie) jelas mengenal pasti minat yang menguatkan lagi identiti sosial kita seperti selfie remaja melakukan aksi tertentu dari watak animasi atau filem,” katanya.
Malah, menuru Rutledge, selfie dalam konteks fesyen atau fotografi memaparkan keyakinan diri yang matang.
“Pada masa sama, selfie menawarkan pengguna keupayaan untuk mencipta kisah hidup berbeza melalui imej bodoh, hodoh, cantik atau apa saja,” katanya.
Katanya, imej berinteraksi secara berbeza dengan otak berbanding teks yang menyimpan pengalaman tertentu.
“Apabila kita melihat gambar lama, otak kita menghidupkan semula pengalaman yang membolehkan kita untuk mengenang kembali beberapa emosi,” tegasnya.
Manakala bagi ikon laman sosial Instagram, Dena Bahrin, 21, yang mempunyai hampir 100 ribu pengikut berkata, selfie mempunyai keunikannya tersendiri apabila pengguna merakam gambar berseorangan atau bersama individu lain.
“Selfie juga meningkatkan keyakinan diri bukan saja kepada diri, tetapi individu lain sekiranya kita mengajaknya bersama bergambar,” katanya.
Dena berkata, selfie tidak membina keyakinan diri tanpa perlu menghiraukan pandangan orang lain mengenai foto yang dirakam.
“Namun, masih ada batasnya apabila kita perlu memikirkan persoalan gambar yang terlalu seksi, menjolok mata atau buat aksi menggoda.
“Selain itu, janganlah ber’selfie’ secara tidak bermaruah sehingga mencemarkan niat sebenar selfie yang mahukan individu itu gembira dan memperoleh memori menyeronokkan,” katanya.
Fenomena selfie juga bakal merubah teknologi kamera apabila pengeluar telefon pintar dijangka mementingkan kualiti kamera depan yang tidaklah sehebat mana.
Sehingga kini, rata-rata format paparan 720p tidak memberi kesan foto yang menarik dan memerlukan suntingan aplikasi tambahan.
Pengeluar telefon pintar juga dijangka memperkemaskan ciri gegaran dalam gajet masing-masing berikutan sifat selfie yang memerlukan satu individu saja untuk merakam gambar meskipun berada dalam keadaan tidak stabil.
Malah, jangan terkejut sekiranya fungsi flash juga dimuatkan di bahagian depan kamera bagi kebanyakan telefon berbanding tumpuan kepada flash di bahagian belakang.
Sumber - myMetro
No comments:
Post a Comment